
Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani  Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan  berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana  Allah SWT". Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis  orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis  itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu  terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.
Semenjak dari  peristiwa itu maka Allah SWT pun mengubah kehidupan orang kaya tersebut dengan  menarik kembali harta kekayaannya sehingga menjadi seorang fakir miskin dan  akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang hina. Anak gadis itu menjadi  pengemis dan meminta-minta dari rumah ke rumah.
Pada suatu hari anak  gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah  seorang ibu daripada rumah tersebut. Ibu tersebut amat kagum dengan kecantikkan  gadis tersebut lalu memperlawanya masuk kedalam rumahnya. Oleh kerana kagum  dengan kecantikkannya, si ibu berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan  gadis tersebut. Setelah selesai perkahwinan, si ibu memberikan pakaian dan  perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
 
Pada suatu malam,  semasa waktu makan malam, gadis tersebut makan bersama suaminya. Oleh kerana  kudung yang tidak diketahui si suami kerana ibunya merahsiakannya si gadis  tersebut makan menggunakan tangan kiri. Apabila si suami melihat keadaan  isterinya itu, maka disuruhnya gadis tersebut makan dengan tangan kanan. Si  isteri tetap makan dengan tangan kiri meski suaminya berulang-ulang kali  menyuruh menggunakan tangan kanan. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah  pintu "Keluarkanlah tangan kananmu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah  mendermakan sepotong roti dengan ikhlas keranaKu, maka tiada halangan bagiKu  untuk mengembalikan kembali tanganmu itu." Setelah gadis itu mendengar, maka dia  pun mengeluarkan tangan kanannya berada dalam keadaan asal.
Hendaklah  kita menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin. Apabila dia datang  kerumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah SAW telah  bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia  telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah  memuliakan Allah SWT. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah  menjadi kemarahanku, dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia  telah menjadikan murka Allah SWT".
Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya  tetamu itu apabila datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama  dengan seribu berkah dan seribu rahmat"




0 comments:
Post a Comment